Sunday 9 September 2012

Apa itu Kemahiran Hidup


Pada tahun 1990, Kerajaan mula memperkenalkan kurikulum baru dalam KBSR iaitu Kemahiran Hidup Bersepadu Sekolah Rendah (KHSR). KHSR adalah salah satu mata pelajaran yang diajar pada tahap dua iaitu tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah. Menurut Yahya Emat (1994) mata pelajaran ini bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran asas bagi membolehkan mereka mengendalikan kehidupan harian dengan lebih produktif dalam dunia teknologi dan perdagangan yang  kompleks dan sentiasa berubah.

Mata pelajaran ini digubal untuk menanam kesedaran celik teknologi melalui penguasaan kemahiran praktis dan pengetahuan serta pemupukan sikap yang positif berasaskan teknologi dan keusahawanan. Pembentukan sebuah masyarakat yang berorientasikan teknologi dan keusahawanan ini adalah selaras dengan hasrat negara dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan keusahawanan yang pesat pada era globalisasi ini. Ianya merupakan salah satu usaha yang dilakukan menerusi bidang pendidikan untuk melahirkan masyarakat yang peka terhadap perkembangan teknologi, berupaya menangani cabaran dan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif, inovatif dan produktif.

Subjek ini memberi pendedahan awal kepada murid-murid mengenai kemahiran, penggunaan teknologi dan keusahawanan seperti projek kerja kayu, litar elektronik,perniagaan dan keusahawanan serta pengetahuan-pengetahuan lain yang berkaitan dengan pendidikan teknik  dan vokasional serta  teknologi disamping menerapkan nilai-nilai murni.

Dari segi perkembangan individu, KHSR dapat membantu murid memenuhi naluri ingin tahu dan ingin mencuba, memupuk sikap positif seperti mengamalkan budaya kerja yang baik dan bertanggungjawab. Ianya juga dapat mengembangkan daya imaginasi dan kreativiti murid seterusnya dapat meningkatkan daya intelek mereka disamping penerapan unsur keusahawanan. Kesemua ini dapat menyumbang kepada hasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). 





0 comments:

Post a Comment